Tuesday, May 31

RAMBUT

"Mengapa pakai tudung? Wanita Melayu ada yang pakai pun!" tegur Mak saya ketika saya mula-mula memeluk Islam dan berjumpa dengannya.
Dia amat tidak menyukai saya dalam keadaan bertudung.
"Bertudung adalah wajib untuk wanita beragama Islam," saya terangkan kepadanya.
Dia diam mencuka.
Sehingga hari ini, dia masih tidak menyukai saya bertudung.

"Teacher, apa khabar?" jurujual di bahagian pakaian bayi di pasar raya itu menegur saya.
Saya terkejut.Saya cuba ingat siapa dirinya, tetapi hampa. Yang pasti, dia dahulu pelajar di sekolah saya, kerana memanggil saya dengan gelaran itu.
"Khabar baik, alhamdulillah. Maaf ya, tapi kamu dulu tingkatan berapa?"
"Saya dari kelas 5***."
"Oh, maaf tak cam tadi. Nampak lain bila tak bertudung." Patutlah saya tak cam dia; saya tidak pernah mengajar kelasnya. Lagipun dia tidak bertudung, berbanding dengan keadaan semasa bersekolah.
"Dah lama kerja di sini?"
"Baru saja, sementara tunggu result SPM."
"Baguslah. Timba pengalaman bekerja."
Dia senyum, malu-malu.

Hmmm... apa nak dikatakan lagi. Memang ada wanita Islam yang tidak bertudung. Itu pilihan mereka. Bukan mereka tidak tahu, lebih-lebih lagi mereka yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam. Di sekolah sudah diajar tentang kewajipan itu, di kelas agama pun ditekankan. Namun ada yang memberi pelbagai alasan untuk tidak memakainya.
Tak perlulah saya nyatakan alasan-alasan biasa mereka. Kita pun sudah sedia maklum.
Cuma keadaan itu memberi kesan kepada sister-sister yang berjinak-jinak dengan Islam dan yang baru memeluk Islam. Biasanya hasrat mereka untuk memakainya sering dipersenda oleh ahli keluarga dan rakan mereka yang bukan Islam, dengan menggunakan wanita Islam yang tidak bertudung sebagai perbandingan.Yang memilih untuk terus bertudung akan dianggap telah di-brainwashed. Yang memilih untuk bertudung labuh serta menutup aurat apatah lagi; dianggap ekstrem oleh bukan sahaja rakan nonMuslim bahkan oleh Muslimah lain yang 'moden'.
Tapi tanpa menutup aurat/ bertudung di kepala, apakah bezanya bagi seorang wanita yang beragama Islam dengan bukan Islam dari segi zahir?
Malah saya berani katakan bahawa ada wanita nonMuslim yang berpakaian lebih sopan di khalayak ramai berbanding dengan wanita Muslim. Malu. Sedih. Mengaibkan.
Tapi apa nak buatkan, takkan nak kurungkan semua yang degil tidak mahu memakai tudung kepala itu sehingga mereka akur?

"Baru peluk Islam, dah nak tunjuk diri lebih alim dari kita?!"
Hahahaaa... saya bukan seorang ustazah la. Malah saya belum pun layak untuk memberi ceramah tentang kewajipan menutup aurat kepada pelajar sekolah rendah pun. Cuma bagi saya, memberi peringatan itu adalah satu kewajipan untuk setiap kita yang beragama Islam.
Saya pun ada ramai kawan yang nonMuslim. Masih berkawan baik walaupun setelah saya memeluk Islam. Mereka faham mengapa saya bertudung, dan saya juga tidak kekok berada bersama mereka dalam sebarang aktiviti, walaupun ada kalanya hanya saya seorang sahaja yang bertudung di situ. Ia memerlukan keyakinan yang tinggi untuk terus menutup aurat dalam kalangan mereka yang tidak begitu.
Saya juga ada kawan Muslimah yang masih belum memakai tudung kepala. Ada yang hanya bertudung di tempat kerja. Ada yang memilih untuk terus mendedahkan rambut tanpa menghiraukan kritikan orang di sekeliling. Ada yang tidak bertudung kerana suami tidak suka mereka bertudung. Masing-masing ada alasan tersendiri. Saya hanya mampu mendoakan agar mereka terbuka hati untuk menutup aurat pada masa terdekat kerana jika berkeras, ia hanya akan menjauhkan mereka sekaligus mengeruhkan suasana. Kadang-kala berdakwah secara hlus itu lebih baik, bukan?

"Kak, saya tak nak jadi hipokrit. Saya memilih tidak bertudung kerana tak mahu asyik buka bila pulang ke rumah keluarga," kata seorang mualaf yang masih menyembunyikan pengislamannya daripada pengetahuan keluarga.
"Saya belum bersedia bertudung kerana nanti rakan sekerja saya akan tahu saya dah Islam dan akan memulaukan saya. Malah mungkin saya akan didiskriminasikan di tempat kerja."
"Saya mahu lakukannya perlahan-lahan. Bukan secara drastik."
"Suami saya tak pernah suruh saya bertudung. Lagipun ramai wanita Islam yang tidak bertudung pun," kata seorang lagi sister.
Saya mendengar. Saya tak mahu memberi komen negatif apatah lagi yang berbentuk ceramah. Nasihat dan teguran keras tentang kewajipan menutup aurat kepada sister-sister itu mungkin akan menjadikan mereka terasa hati dan lebih jauh daripada Islam. Lagipun saya sendiri pun bukan sempurna; banyak lagi kelemahan sendiri yang perlu dibaiki.
"Tapi mereka perlulah berniat untuk menutup aurat pada waktu yang terdekat, bukan terus memberi alasan. Pasang niat itu dan nyatakan sendiri tempoh masa yang mereka perlu untuk bersedia memenuhi kewajipan agama ini. Bila dah Islam, kenalah lakukan ikut tuntutan agama, barulah diri akan lebih kuat, iman lebih teguh. Berani kerana Allah, bukan takut pada manusia lain," kata seorang rakan.
Saya angguk setuju. "Betul tu, tapi niat untuk menutup aurat bukan sahaja perlu dilakukan oleh yang baru masuk Islam tetapi lebih penting lagi, oleh mereka yang dah lama Islam tetapi belum berbuat begitu. Sokongan padu dan pengetahuan agama yang kukuh perlu untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan tudung kepala itu untuk kekal menutup aurat. Bukan mudah sebenarnya menutup aurat bagi yang sudah dewasa, tambahan lagi bila wanita lain di sekeliling tidak berbuat begitu. Tapi saya percaya, insyaAllah jika kita terus berdoa dan berniat untuk menutup aurat, Allah akan memberi kekuatan dan permudahkan urusan. Kena berani membuat perubahan, berani memulakan langkah pertama memakai tudung kepala. Dan mereka itu saya maksudkan adalah wanita yang lama serta yang baru Islam, tak ada perbezaan sebenarnya bila mula mahu bertudung buat kali pertama. Tentu hati berdebar-debar ketika menyarungkan tudung kepala. Dan kita yang sudah bergelar Muslim, perlulah memberi sokongan dan dorongan."

Sunday, May 29

ANTARA SUAMI DAN ANAK

"You ada berapa orang anak?" Cikgu India berumur 50-an itu bertanya saya. Ketika itu saya masih dengan suami pertama dan belum memeluk Islam. Saya menumpang keretanya ke stesen bas selepas mesyuarat.
"Belum ada anak," saya jawab ringkas.
"Oh, itu jangan sedih. Ada anak bagus, tak ada anak pun bagus juga. Bila ada anak, kena jaga betul-betul.. itu ujian bagi kita ibu bapa. Bila tak ada anak, kira tuhan sayang kita juga, sebab tak bebankan dengan ujian anak.Saya ada 3 anak perempuan, semua sudah besar tapi saya juga yang susah hati selagi mereka belum kahwin.Jika saya tak ada anak, senang macam awak sajalah, nak pergi mana boleh, nak buat apa pun boleh."
Saya senyum mendengar teorinya. Mungkin dia saja nak senangkan hati saya.

"Isteri bila tak ada anak, sayangkan suami, semua minta boleh bagi. Bila ada anak, suami dah dilupakan."
Begitu pula teori yang dikemukakan oleh seorang kawan kepada saya.
"Betulkah? Takkan lupakan suami terus bila ada anak?"
"Bila ada anak, anak itu diutamakan. Saya taulah, saya dah kena. Bila anak sulung lahir, isteri saya menatang bagai minyak yang penuh. Makan minum saya dia dah lupa, bila ingatkan baru kelam-kabut sediakan," adu si suami itu lagi.
"A la, itukan anak awak juga. Awak berebut perhatian dengan anak kecil awak?"
"Tak la begitu... cuma terkilan juga sebab sejak berkahwin isteri tak pernah begitu. Bila ada anak saja, dia terus lupakan saya."
"Berilah isteri awak sedikit masa. Lagipun anak awak itu baru 2 bulan. Mungkin isteri awak sibuk sebab tak ada orang lain tolong di rumah, semua dia sendiri perlu buat. Jika awak tolong dia jaga anak bila awak di rumah, dia adalah masa nak rehat, bolehlah dia layan awak macam raja, sama seperti dulu.Tapi jika sekarang dengan adanya anak kecil awak di rumah pun awak masih goyang kaki, tunggu makan minum minta dihidang seperti dulu, saya tak salahkan isteri awak kerana gagal layan awak seperti dulu. Sebagai bapa dan suami, awak perlulah tolong isteri, bukan tambah bebannya. Bila isteri senang hati dan tak stres, insyaAllah dia dapatlah layan awak dan anak dengan baik."
"Tapi mak saya dulu pun boleh jaga anak sampai 9 orang, layan suami lagi.. mengapa isteri sekarang tak boleh buat semua tu? Sikit-sikit mengadu letih, rumah tak kemas-kemas juga."
"Itu dulu. Mak awak suri rumah, hanya perlu jaga anak dan uruskan kerja rumah. Mak awak boleh berehat di rumah bila dah siap kerja, bila semua anak dah tidur. Lagipun anak yang besar tolong jaga adik-adik yang kecil. Mak awak tak perlu kerja sampai 5 petang, tak perlu stres bawa balik kerja untuk diselesaikan di rumah...uruskan kerja di rumah dan jaga anak sampai ke malam seperti isteri awak sekarang ni. Saya percaya jika awak boleh berikan dia gaji RM4 ribu sebulan untuk dia jadi suri rumah, dia akan sanggup berhenti kerja. Mampukah awak sara keluarga tanpa isteri awak bekerja?"
"Errr... mana boleh. Mana cukup nak hidup dengan gaji saya seorang?"
"Tau tak pa. Sebab tu, jangan bandingkan isteri dengan Mak awak. Zaman dah berubah, bersyukurlah sebab isteri sanggup membantu meringankan beban awak menyara keluarga. Tolonglah mana yang patut di rumah, sekarang bukan zaman suami adalah raja di rumah. Sebaliknya jadilah pemimpin keluarga yang baik, bukan raja yang asyik minta layanan first class di rumah."

Hmmm... teringat peristiwa-peristiwa dahulu.
Ikram sudah beberapa hari demam panas. Genap setahun umurnya. Sebab demam, saya tangguhkan hasrat membawanya ke klinik untuk imunisasi. Saya terpaksa mengambil cuti rehat selama 2 hari untuk menjaganya di rumah sebab bimbang pengasuhnya tak sempat berikan sepenuh perhatian padanya di nurseri. Juga bimbang berjangkit kepada kanak-kanak lain. Alhamdulillah, demam dah surut dan dia masih lagi aktif walaupun agak manja berbanding dahulu.
"Bapanya tak boleh jagakah?" pengetua bertanya ketika saya memohon cuti rehat untuk hari kedua.
Saya senyum sahaja. "Anak saya bila sakit, melekat dengan ibunya saja," saya berikan alasan.
Bukan semua bapa akan mengambil cuti menjaga anak yang sakit. Bermain-main dengan anak bila-bila boleh, tetapi bila bab menjaga anak terutama yang sedang sakit, belum tentu lagi. Mahu tak mahu, biasanya si ibu juga yang terpaksa berkorban.
Saya tabik pada bapa-bapa yang bergilir-gilir dengan isteri menjaga anak, serta sanggup mengambil cuti untuk menjaga anak sakit sementara isteri kembali ke tempat kerja [alhamdulillah, ada suami begitu]
Atas pengorbanan si ibu, mungkin sebab itulah Rasulullah saw menyuruh si anak lebih menghormati/berbakti kepada si ibu berbanding si bapa?

Tuesday, May 24

HAPPY BIRTHDAY, SAYANG

Rasa macam baru semalam saya melahirkannya di hospital.
Merasakan dia menyusu badan buat kali pertama.
Alhamdulillah, sudah 365 hari berlalu.
Ikram sudah pun berumur 1 tahun.
Dah besar rupanya anak saya ni.
Berat masa lahir baru 3 kg, kini kira-kira 10 kg.
Baju saiz L pun sudah ketat sebab perutnya bulat..perlu pakaikan dengan saiz XL/18/ baju untuk budak 2-3 tahun.
Dia sudah mula berjalan ke sana ke mari. Sudah tak boleh duduk diam melainkan bila diberikan buku bergambar. Dah pandai ajak orang bersembang dengannya. Pantang tengok wayar/gajet, pasti cuba dirampasnya. Pagi-pagi dia akan berdiri di pintu, tunggu nak keluar naik kereta.
Teruk perut saya yang makin membulat itu ditepuknya setiap kali berbaring di tepinya, seolah-olah dia mengajak si adiknya bermain bersama.
Hampir setiap hari, ada saja laporan daripada pengasuhnya di nurseri.
"Ikram dah makin nakal. Dia dah pandai tanggalkan seluar panjang dia."
"Ikram makan habis moi semangkuk, baru geleng kepala tanda tak nak lagi."
"Ikram berjalan merata dalam bilik petang ni, tak nak tidur."
"Ikram sorok mainan dia di bawah tilam."
Semenjak dia ada, hidup saya jauh berubah. Kadang-kadang seperti tidak percaya bahawa saya sudah mempunyai seorang anak. Hero pula tu.
Penat memang penat, tambahan dengan keadaan saya yang sarat mengandung sekarang. Memang tak dapat berehat apabila dia ada di rumah melainkan ketika dia tidur.
Syukur padaNya yang Maha Berkuasa. Saya masih larat mendukung Ikram naik ke bilik tidur setiap malam.
Syukur kerana Dia memberikan seorang cahaya mata yang menjadi sinar dalam kehidupan kami sekeluarga. InsyaAllah semoga anak saya, Ikram Mursyidi menjadi anak yang soleh, seorang Mukmin yang bertaqwa padaNya, berjaya menyumbang serta mengembangkan syiar Islam dan cemerlang di dunia dan akhirat.


meraikan hari lahirnya pada 20 mei di rumah mertua

rambut pendek stail pacak yang semulajadi.. tak payah guna gel
dah boleh berdiri dan berjalan tapi sebab tu pertama kali berada di situ, dia amat berhati-hati

Monday, May 23

BILA MENU ADALAH DAGING

"Aliya, makanlah daging tu," Mak mertua tegur.
"Baik, Mak."
Ohh.. ohhh... saya angguk tetapi dalam hati, dah mulai rasa gelisah.
Saya toleh ke arah adik ipar dan isterinya yang duduk di sebelah saya. Aiyah, tinggal tulang saja di atas pinggan mereka. Mereka dah habis makan. Saya pula baru nak mula. Suami pula sibuk bersembang di ruang tamu.
Tinjau semula makanan yang terhidang di atas meja makan. Hmmm, daging.. ada daging dalam dalca. Ada daging berketul-ketul di dalam pinggan. Maksud Mak, daging berketul itu kah? Nak makan begitu sajakah?
"Makan daging tu, Aliya. Makan sikit tu, mana cukup?" Mak tegur lagi.
"Cukup, Mak. Lagipun saya ada darah tinggi, tak boleh makan terlalu banyak daging," saya cuba memberi alasan, takut mak mertua tersinggung pula. Cepat-cepat saya cedok seketul daging daripada lauk dalca.
Saya jarang makan daging lembu, walaupun sudah beberapa tahun bergelar Muslimah. Ia bukan menu harian di rumah saya dibesarkan sebagai penganut Buddha. Keluarga saya yang berfahaman Buddha-Tao memang mengharamkan daging lembu di rumah kami sebab adanya tuhan Kuan-Yin yang disembah di meja tokong.
Bagi kami yang berketurunan Cina, kami dibesarkan dengan istilah daging = pork= daging khinzir. Bukan daging lembu.
Bila memeluk Islam, setiap kali mendengar orang Melayu kata daging, saya perlu memahamkan diri bahawa yang dimaksudkan itu adalah daging lembu.
Sebabnya, bila pulang ke rumah Mak atau Tok, yang disebut mereka daging masih daging khinzir :P


Setelah berkahwin pun, daging lembu jarang dihidangkan di rumah. Suami pun berpantang kerana dia ada penyakit gout. Oleh itu, daging lembu bukanlah menu yang biasa terdapat di rumah saya. Hanya bila ada kenduri barulah ia dibawa dihidangkan. Itupun bila diberikan oleh keluarga sebelah suami atau jiran.

Bagi yang lahir Islam, mungkin akan berasa hairan mengapa saya kemukakan persoalan ini. Mungkin akan gelak kerana anggap ia perkara remeh. Memang remeh pun tapi itulah hakikatnya - bila dah memeluk Islam, banyak yang perlu kita adaptasikan diri termasuklah makanan dan penggunaan istilah tertentu yang membawa maksud berlainan untuk setiap kaum.

Itu baru cara makan daging. [yang mertua saya suruh adalah daging yang dimasak cecah dengan air asam]
Belum masuk bab memotong makanan, termasuklah cara memotong bawang, yang memang berbeza di antara orang Melayu dengan orang Cina.
Oleh itu, jangan rasa pelik bila saya diam saja semasa berada di majlis makan.. mungkin saya tengah berfikir bagaimana caranya nak makan sesuatu masakan itu ikut adab Melayu, heheheee...

PERIKSA

"Mengapa tulis sebuah esei sahaja? Bukankah kamu diminta tulis sebanyak 2 esei?"
"Tak cukup masa," dia memberikan alasan.
"Itu bukan alasan yang baik. Sebelum periksa, saya dah ingatkan kamu semua bahawa kamu perlu peruntukkan masa 1 jam 45 minit untuk menulis 2 esei. Sekarang sebab kamu hanya tulis satu, kamu kehilangan 50 markah kerana gagal menulis esei yang kedua. Mungkin kamu akan gagal kertas BI kerana tidak menulis esei kedua ini."
Wajahnya muram. Agaknya dia baru sedar akan kesilapannya.
Peperiksaan Pertengahan Tahun sedang berlangsung di kebanyakan sekolah.
Berbuih mulut cikgu-cikgu mengingatkan para pelajar terutama mereka di Tingkatan 1 dan 4, tentang bentuk soalan peperiksaan yang bakal dihadapi, dan perkara-perkara yang perlu dilakukan sewaktu peperiksaan. Maklumlah inilah kali pertama mereka akan menjawab soalan peperiksaan berformatkan bentuk PMR dan SPM.

"Macam tak pernah belajar!" sungut Cikgu Razi semasa dia memeriksa kertas jawapan Matematik."Penat mengajar tapi ini yang mereka jawab! Merapu!"
"Biasalah... tak tengok lagi jawapan untuk kertas Sains," komen Cikgu Nora.
"BI lagi seronok, ada yang jawab soalan objektif sahaja. Untuk soalan esei, hantar kertas kosong!"
"Tu la, bila banyak gagal, kita cikgu juga yang dipersalahkan oleh pihak pentadbiran. Kita juga yang dituduh tak mengajar padahal pelajar sendiri tak bersungguh nak jawab."
"Budak sekarang dah lain. Masa kita sekolah dulu, tak tahu pun cuba jawab juga, pantang tengok kertas kosong, takut kena marah dengan cikgu. Sekarang kita marah, mereka tak kisah, malah boleh gelak."
"Tak tau la apa nak jadi dengan pelajar-pelajar Galus tu. Mereka sendiri tak tahu hari ini periksa subjek apa sedangkan jadual periksa kita sudahpun lekatkan di papan kenyataan kelas mulai minggu lalu."
"Betul tu. Kita yang susah hati bila mereka tengah periksa. Risau prestasi jatuh."


"Mereka sangka di Tingkatan 4 boleh honeymoon, bila masuk Tingkatan 5 baru belajar bersungguh-sungguh untuk SPM. Nasihat kita supaya bersedia dari sekarang tak diendahkan. Jika basic pun tak boleh, macam mana nak buat soalan yang lebih susah?"
"Tak ada seorang pun pelajar yang nak gagal. Semua nak lulus, jika boleh nak dapat A, tapi masalahnya bukan semua nak berusaha untuk dapatkan A itu."
"Mungkin puncanya sebab sudah banyak yang mereka dapat percuma. Buku teks percuma, ambil peperiksaan awam percuma, beg sekolah percuma, baju sekolah percuma, malah ada yang nak yuran sekolah dan yuran PIBG percuma. Bila semua percuma tanpa perlu berusaha, tak mudah menghargai segala yang diperolehi itu sebab tak pernah rasa susah untuk mendapatkan ilmu. Datang ke sekolah untuk berseronok.Tak lulus cemerlang pun tak apa, masih boleh dapatkan pinjaman untuk sambung belajar di kolej, yang prestasi elok sikit, boleh dapat biasiswa."
"Saya setuju tu. Masa kita belajar dulu, banyak yang kita sendiri perlu adakan. Buku teks kena beli di kedai second-hand sebab tak dapat skim SPBT. Duduk pula di kerusi buruk yang menyepit punggung kita. Jangan kata nak dapatkan biasiswa, nak dapat PTPTN pun tak boleh sebab masa tu takde. Tapi kita ok juga, masih boleh belajar sampai dapat ijazah, dapat kerja, walaupun terpaksa ikat perut bertahun-tahun masa belajar dulu."
"Anak-anak zaman sekarang dah terlalu dimanjakan. Semua dia minta terpaksa diberikan. Nak kasut branded, kena belikan. Nak baju branded, nak makan sedap. Nak minta motosikal, malu nak tunggang basikal ke sekolah. Tapi suruh belajar menggeliat, suruh buat kerja rumah sikit dah banyak komplen. Tu termasuklah anak saya sendiri."
"Entahlah apa nak jadi. Risau tengok anak-anak sekarang ni, tambah bangsa kita sendiri. Tambah pelajar di kelas hujung. Mereka fikir zaman sekarang, dengan sijil SPM lulus BM saja dah boleh cari makan? Saya kata jika nak jadi askar pun, kena ada kredit dalam Matematik dan Bahasa Inggeris, mereka tak percaya!"
"Awak tak masuk Kelas 4B pagi tadi. Si Azim tu, yang dah lebih 60 hari tak datang sekolah tanpa alasan dan dah pun diberhentikan sekolah, tiba-tiba datang pagi ni! Dia masuk-masuk kelas, terus tengok jadual periksa. Kawan-kawan dia terkejut tengok dia. Saya panggil dia, tanya mengapa dia datang sebab dia dah diberhentikan sekolah, tak boleh berada di dalam kawasan sekolah lagi, surat berdaftar dah pun dipos ke rumah. Tau apa dia kata? Dia seronok sebab boleh balik rumah semula untuk sambung tidur!"
"Geram dengan budak-budak tu. Masa kita mengajar, mereka ponteng tapi bila masa periksa, terhegeh-hegeh nak datang ambil periksa pula. Kalau pandai dan boleh lulus takpa juga, ni asyik hantar kertas kosong, jatuhkan lagi prestasi yang dah memang teruk."
"Buatlah program motivasi banyak-banyak pun, tapi jika pelajar masih tak berubah sikap, macam inilah hasilnya. Periksa macam tak periksa, tak buat persediaan langsung. Kesian mak bapa yang bertungkus-lumus menyekolahkan anak tapi anak sendiri tak menghargai semua pengorbanan mereka."
"Malangnya bila mereka sedar, mungkin sudah terlambat. Masa nak dekat SPM atau PMR, baru nak rajin baca buku. Masa tu la nak cari kismis minda, nak cari air yassin, nak solat hajat. Semua nak cepat dan mudah tapi nak dapatkan ilmu bukan begitu caranya!"

Sunday, May 15

SELAMAT HARI GURU

Hari Guru Tahun 1979
"Cepatlah, mari!" kakak senior memanggil. Saya yang berbaju-T dan berseluar pendek aras lutut tergesa-gesa berlari ke arahnya, takut dimarahi. Dia segera mencapai skirt yang dibuat daripada tali rafia dan daun kelapa, lalu diikatkan pada pinggang saya.
Kami dikerah menari ala 'Hawaiian dance' sempena Hari Guru. Alahai, bila diingati semula memang memalukan tetapi pada ketika itu, saya dan kawan-kawan lain yang berumur 8 tahun memang lurus bendul. Kami hanya mahu menghiburkan para guru dan rakan-rakan lain. Persembahan demi persembahan pula dilakukan di padang sekolah pada waktu pagi.
Kata kakak senior, itulah hadiah kami kepada cikgu-cikgu.
Itulah ingatan pertama saya menyambut Hari Guru peringkat sekolah :P

Hari Guru Tahun 1988
"Ah, kalau cucuk badan saya, kena kahwin dengan saya," Cikgu Bakar mengusik.
Saya  bertambah malu. Tangan menggeletar ketika menyematkan corsage bunga orkid pada kocek bajunya. Guru disiplin itu memang digeruni oleh ramai pelajar sekolah convent itu tetapi dia agak baik dengan saya. Mungkin atas sebab itu jugalah,saya dipilih di antara perpuluh-puluh pengawas sekolah untuk menyematkan bunga orkid pada bajunya. Setiap pengawas diberi tugas menyematkan corsage bunga pada baju seorang guru.
Syukur, tak tercucuk badan Cikgu Bakar - tak payahlah kahwin dengannya :P
Itulah sambutan Hari Guru terakhir saya sebagai pelajar sekolah menengah.

Hari Guru Tahun 1994
Tahun kedua saya mengajar dan saya telah ditukarkan ke sebuah sekolah luar bandar. Murid-murid memberikan persembahan di atas pentas. Guru-guru pula seperti biasa menyanyikan lagu 'Kami Guru Malaysia' dan membaca ikrar hari guru. Rutin biasa pada hari guru.
Saya kembali ke meja. Terkejut. Hampir penuh meja saya dengan bungkusan hadiah. Ada besar, ada kecil. Banyak pula yang tidak ditulis nama murid yang memberi.
Saya angkut semuanya balik ke rumah. Bila buka hadiah-hadiah itu, saya ketawa besar. Hmmm, ada beberapa kotak tisu yang belum digunakan, hampir setengah dozen buku sabun wangi, 2-3 set brooch baju [belikah atau kebas dari koleksi ibu?], hampir sedozen pen merah, beberapa bekas bunga telur, dan sedozen bunga ros plastik pelbagai warna.
Semenjak itu, saya jarang membeli sabun mandi kerana stok dari hadiah hari guru bertahan beberapa bulan lamanya  :)

Hari Guru Tahun 2009
Saya mula bertugas di sekolah menengah kawasan luar bandar. Suasana lain, pelajar pun lain. Guru-guru tidak perlu lagi bertungkuas-lumus menyediakan pelajar untuk persembahan hari guru sepertimana di sekolah rendah. Itu tugas badan pengawas sekolah menengah.
Saya duduk bersama-sama guru-guru lain di dewan sekolah. Kami menerima hadiah daripada badan pengawas. Kemudian pelajar-pelajar lain pula memberikan hadiah mereka. Saya tidak bersedia untuk sesi itu. Penuh tangan saya dengan pelbagai hadiah dan bungkusan daripada pelajar yang menyerbu. Patutlah ada cikgu yang menyimpan beg plastik besar di dalam beg tangan mereka; rupa-rupanya untuk menyimpan hadiah daripada para pelajar.
Koleksi pula berbeza di sekolah menengah. Lebih canggih kerana kebiasaannya pelajar berkongsi membelikan satu hadiah kepada setiap guru. Ada yang membuat kad sendiri. Saya tak kisah. Terima kasih kepada yang memberi, yang tak memberi pun tak mengapa.

Hari Guru bukan disambut kerana cikgu-cikgu menagih hadiah daripada pelajar. Malah kadang-kala lebih seronok apabila hanya satu kad diberikan mewakili satu kelas. Bukan hadiah berbentuk material yang dipinta tetapi kesungguhan para pelajar semasa membuat kerja sekolah dan kesantunan mereka ketika berbicara dengan guru itulah yang setiap guru inginkan pada setiap hari.
Apa gunanya berderet-deret A yang diperolehi pelajar tetapi mempunyai sikap buruk dan kurang ajar terhadap orang dewasa yang lain. Apa gunanya cuba membodek guru dengan hadiah mahal pada hari guru padahal pada hari lain berperangai seperti 'hantu' di dalam kelas.
Guru tidak mengharapkan balasan materialistik daripada para pelajar kerana mengajar itu memang tugas dan tanggungjawab setiap warga bergelar 'cikgu'
Yang kami harapkan adalah kesungguhan para pelajar semasa belajar, seriusnya mereka menyiapkan kerja sekolah, sopannya mereka ketika berbicara dengan guru dan orang lain, dan keinginan mereka untuk memperlengkapkan diri dengan pelbagai ilmu semasa menuntut di sekolah supaya mereka dapat menjadi warganegara yang cemerlang.
Bukan seperti mereka yang tamat sekolah/dibuang sekolah dan menjadi sampah masyarakat.

Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik... baik mereka yang mengasuh anak kecil, yang mendidik anak di taska dan tadika, yang bergelar cikgu/teacher/laoshi/ ustaz/ustazah.. yang bergelar pensyarah dan professor... yang mengajar walaupun hanya sepatah ayat..
Semoga jasa dan pengorbanan anda dibalas di dunia dan akhirat, ameen.

Terima kasih kepada semua guru-guru kelas saya [sekolah]:
1978 - Mrs. Goh, ; 1979- Pn. Hasnah ; 1980 - Mrs. Wee ; 1981 - Mrs.Ooi ;1982 - Pn. Khadijah, ;1983 - Pn. Abdillah, 1984 - Mrs. Tan; 1985 - Pn. Asma, 1986 - Mrs. Joseph, 1987 - Mr. Soo Ah Ba, Mr. Ooi ; 1988 - En.Mokhtar; Mrs. Verghese; 1989 - Mr.Lim Ah Ba, Mr.Lee ; 1990 - En. Mohd Danial.

Tuesday, May 10

KELAS BIMBINGAN SAUDARA BARU


Assalamualaikum semua,
Alhamdulillah syukur kepada Allah swt.
Satu lagi program khas untuk membimbing saudara kita akan diadakan di Pulau Pinang pada pertengahan bulan Mei sehingga pertengahan bulan Julai. Hari Jumaat malam, setiap 2 minggu sekali.
Jemputlah ke sana beramai-ramai.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi pihak penganjur.[klik saja pada poster itu untuk besarkan imej]

Nota: Saya sendiri belum pasti untuk hadir, sebab tengah sarat mengandung dan tidak selamat lagi memandu jauh, lebih-lebih pada waktu malam. Tengoklah, jikalau suami ada kelapangan, insyaAllah kami akan ke situ jua.

HARI IBU

Syukur alhamdulillah, tahun ini dapatlah saya rasai sambutan Hari Ibu. Sudah ada anak seorang, sudah bergelar 'ibu' walaupun Ikram belum pandai menyebut ungkapan 'Ummi'. Hanya 'Mama' yang disebutnya sekali-sekala, itu pun bila dia nakkan sesuatu.

Pada hujung minggu, akhirnya dapatlah kami sekeluarga balik ke kampung saya di Sg.Petani. Pertama ke rumah Tok yang berdekatan dengan Central Square. Alamak, rupa-rupanya jalan utama ke rumahnya ditutup untuk pembinaan kereta api. Kami terpaksa membuat satu pusingan besar sebelum berjaya tiba di rumahnya 30 minit kemudian.
Sampai di rumah, Ikram menangis kerana melihat suasana berlainan. Tapi tangisnya tak lama, 10 minit kemudian dia dah mulai aktif semula. Tok apatah lagi, seronok melihat cicit lelaki sulungnya itu. Tok saya, juga 'Cho cho' Ikram sudah berusia 89 tahun tetapi masih sihat dan aktif bergerak. Cuma badannya bongkok.Sudah beberapa kali kami terpaksa tangguh menziarahinya kerana kesibukan masa, lagipun Tok sendiri pernah menghalang kami pergi kerana dia batuk lama; tidak mahu batuknya menjangkiti Ikram pula. Kali ini selesailah hutang kami pada Tok. Seronoklah orang tua itu bermain-main dengan cicitnya.

Selesai berbicara kami bertolak pula ke rumah Mak yang letaknya tidak jauh dari situ. Mak pun sama, gembira melihat cucu tunggalnya. Katanya Ikram sudah kurus berbanding waktu Tahun Baru Cina. Maklumlah Ikram kini semakin aktif dan sedang berlatih berjalan. Ikram pula suka mengusik Poh-Pohnya, menarik-narik kertas tisu daripada kotak tisu lalu dikoyak-koyakkannya [belajar Sains, konon :P].

Kami pulang sebelum Asar. Cuaca panas. Syukurlah jalan belum sesak lagi. Sampai sahaja di rumah, Ikram terus lena di katilnya. Hehehee... dah puas bermain dengan Cho-cho dan Poh-Poh, dia tak larat nak main dengan Ummi.

Saya tak kisah. Gembia dapat membahagiakan kedua-dua Mak dan Tok pada Hari Ibu tahun ini, sudah cukup bagi saya. Saya dapat meraikan Hari Ibu dengan Ikram pada setiap hari. InsyaAllah, pada tahun depan, bertambah pula seorang lagi anak untuk sama-sama bermanja :)

Selamat Hari Ibu untuk semua wanita...
yang bergelar ibu, mama, ummi, amma, mummy.. dll
yang bergelar cikgu, teacher, lao-shi, ..dll,
yang bergelar mak saudara..dll
yang bergelar mak angkat..
dan semua yang cintai kanak-kanak..
anda adalah ibu di hati seorang anak.

nota: tulis pos ini sementara tunggu klinik dekat rumah buka.. alihkan fikiran daripada rasa cramp/kejang perut semenjak semalam lagi..9 minggu lagi, takkan nak keluar sekarang, baby?

Friday, May 6

MACAM MANA NI?

Saya benci bila diminta mengisi maklumat diri secara online.
Ada saja yang tak kena. Sakit hati saja. Membuang masa. Data yang cuba dikemaskini tidak dapat diproses kerana asyik 'hanging'. Tambah frust bila mendapati ada maklumat yang salah atau masih belum dikemaskini semenjak beberapa tahun yang lalu.
Salah siapa?

Baru-baru ini sekolah menerima pekeliling, meminta kami warga sekolah mengemaskini data sendiri dalam HRMIS iaitu di website Jabatan Perkhidmatan Awam, yang telah dilink dengan Jabatan Pendaftaran Negara.
Sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab dan dedikasi [hahaha] saya pun terus buka laman web itu dengan menggunakan komputer di rumah.
Hmmm, minta ID dan pasword. Saya teka, alhamdulillah berjaya masuk.
Buka pula data sendiri - Rekod peribadi, iaitu data yang ada dalam Aplikasi HRMIS.
Aikkk... ada yang tak kena ni..
Terus saya geleng kepala.
Bayangkanlah.. saya memeluk Islam pada Julai tahun 2006, buat kad pengenalan baru dengan nama dan status agama Islam [dah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara] pada tahun akhir 2006, buat paspot antarabangsa dengan nama sekarang pada tahun 2008 dan sudah pun bekerja semula di sekolah menengah semenjak tahun 2008 [khidmat sebagai penjawat awam tidak pernah terputus walaupun sambung belajar kerana di bawah tajaan Kementerian Pelajaran]. Semua urusan rasmi saya sekarang menggunakan nama Islam yang sudah tertulis dalam Kad Pengenalan saya yang terkini - Nama NUR ALIYA YEOH BINTI ABDULLAH, beragama : Islam.

Maka, mengapakah nama saya di website di bawah HRMIS ini masih nama lama?
Yang lebih menghairankan lagi, agama yang tertera di situ masih agama Buddha.
Yang pelik juga, ada maklumat terkini seperti paspot antarabangsa dan nama suami sekarang dengan tarikh perkahwinan kami yang betul [walaupun bukan nama penuhnya]. Itu bererti ada maklumat diri saya yang sudah pun dikemaskini, tetapi maklumat lama juga masih disimpan di situ tanpa sebarang perubahan.
Terdapat 11 butiran diri yang ada termasuk nama dan agama adalah butiran daripada Jabatan Pendaftaran Negara, dan tidak boleh diubah.


Saya telefon pihak yang uruskan HRMIS itu menggunakan nombor telefon yang diberi di laman web itu. Jam 3.26 petang tarikh 6 Mei 2011.
Saya nyatakan masalah saya.
Saya beritahu bahawa saya sudahpun menggunakan nama saya untuk semua urusan rasmi di Kementerian Pelajaran Malaysia semenjak tahun 2008.
Semua borang yang diperlukan untuk mengubah nama dan agama kepada status terkini sudahpun dilakukan di sekolah lama di Taiping pada tahun 2006 dan diluluskan. Pertukaran nama dalam buku rekod perkhidmatan sebagai guru sekolah juga sudahpun diluluskan pada tahun 2008, dan dikemaskini pada tahun 2009 .
Jadi mengapa pula rekod peribadi saya di HRMIS [Jabatan Perkhidmatan Awam] masih ada maklumat lama bercampur baru?

Kalau hanya nama asal yang masih kekal, saya tak kisah sangat, sebab mungkin data komputer susah untuk diubah untuk nama seseorang. Seperti yang masih ada dalam data online E-Filing saya. Tetapi takkan maklumat agama pun tak boleh diubah?
Saya tak mahu lagi maklumat diri saya ditulis sebagai beragama Buddha sedangkan saya sudah hampir 5 tahun hidup sebagai orang Islam. Ini bukan isu remeh bagi saya. Ini berkenaan taraf agama - sesuatu yang amat sensitif!!!!!
Tak pelikkah apabila saya yang kononnya masih beragama Buddha mempunyai suami Melayu beragama Islam?
Saya bercakap dengan seorang pegawai wanita dan diminta memberikan nombor telefon bimbit untuk dihubungi semula. Nombor kad pengenalan saya juga diambil untuk mereka lakukan siasatan.
Sehingga sekarang, saya masih menunggu maklumbalas mereka.
Ahhh, buang masa saya. Buang duit saya juga kerana terpaksa menelefon ke KL untuk urusan ini dan bercakap lama dengan pegawai sana.
Dan semuanya bukan salah saya.
Salah sistem komputer online yang kononnya sudah up-to-date dan serba canggih. Yang kononnya dah berjaya di-link-kan antara satu jabatan kerajaan dengan jabatan kerajaan lain.
Huhuhu.. what a joke.

Ingatkan dapat selesailah kerja yang satu ni, sebab tarikh akhir kami diminta untuk mengemaskini maklumat diri dalam HRMIS adalah pada 15 Mei 2011.
Nampaknya saya mungkin terpaksa tunggu lebih lama lagi.
*&^%$#@!
Asyik-asyik terpaksa berhadapan dengan karenah birokrasi selepas memeluk Islam dan menukar nama kepada nama kini.
Ingatkan bila tukar nama kepada nama sekarang, lebih mudah la kerja, lebih senang la sebab tak perlu nak terangkan mengapa agama saya kini Islam [kalau guna nama asal, perlu pula beritahu suruh tukar status agama Buddha kepada Islam, nanti perlu jawab pula pelbagai soalan daripada pihak pejabat kerajaan kerana kononya nama asal yang tak tunjuk diri seorang Muslimah].
Ni back to square one.
Tunggu lagi.
Sedangkan setiap tahun say kemaskini data rekod diri secara manual dan online [melalui guru data sekolah] untuk sistem EMIS dan HRMIS.
Sekarang saya terpaksa tunggu lagi respon daripada jabatan kerajaan.. Jabatan Pendaftaran Negara pula yang tak kemaskini data saya[ironinya, ia yang luluskan permohonan pertukaran nama dalam kad pengenalan saya pada 2006]
Sampai bila nak terus gini?

Entah-entah nanti saya juga yang terpaksa turun naik pejabat Jabatan Pendaftaran Negara yang terdekat untuk surat mengesahkan saya ni dah masuk Islam, terpaksa sekali lagi faks/kirim segala dokumen yang berkaitan dengan pengislaman saya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam pula seperti mana yang telah berlaku kepada saya semasa memohon paspot antarabangsa pada tahun 2008 dahulu.
Saya dah boleh bayangkannya.
Hanya menunggu panggilan telefon daripada pihak pengurusan HRMIS. Atau perlukah saya telefon mereka sekali lagi pada Isnin depan???? Kena buang masa dan wang lagi???

Saya dah fed-up dengan karenah birokrasi!!!!!!!!!!!
Kalau bukan kerana iman sebagai orang Islam masih kuat dan kukuh, rasanya mungkin dah murtad sekarang sebab asyik-asyik diperlakukan begini setiap kali berurusan dengan jabatan kerajaan Malaysia.

Jikalau orang bukan Islam dengar masalah saya ini, tentu mereka akan ketawa berdekah-dekah,
"Ha padan muka! Siapa suruh masuk Islam?! Sekarang rasakanlah!"
Ya, padan muka saya sebab masuk Islam dan menghadapi masalah ini sekarang.
Padan muka saya sebab tukar nama kepada nama yang lebih mirip orang Islam di Malaysia.
Jikalau saya tak buat semua tu, mudah sekali hidup saya ni, bukan? Semua urusan akan menjadi mudah dan cepat, tak perlu berketuk pintu sana sini dan menelefon sana sini.
Orang kafir dan dan saudara baru Islam yang tak daftar diri sebagai orang Islam dalam kad pengenalan mereka tak perlu hadapi semua masalah seperti itu.


Wahai saudara Islam lain yang memeluk Islam dan bekerja sebagai penjawat awam, tolong semak-semak juga status anda di HRMIS.. entah-entah bukan saya seorang saja yang menghadapi masalah ini.

Tuesday, May 3

MACAM-MACAM

"Ahhhhh!"
Saya hanya mampu menjerit. Melihat dia jatuh berguling ke lantai. Seperti adegan filem yang slow-motion.
Saya tinggalkannya bermain di ruang tamu yang jauh dari tangga tetapi dia telah mengejar saya dengan laju sambil menangis-nangis, dan memanjat tangga sehingga anak tangga keempat. Saya berpatah balik untuk mengambilnya, tetapi tatkala dia melihat saya, kepalanya didongak ke atas dan dia tidak dapat mengimbangi badannya. Maka jatuhlah dia...
Syukur alhamdulillah... anak kecil saya itu tidak mengalami kecederaan serius. Dia menangis sekejap kerana terkejut. Saya periksa seluruh badannya, menggerak-gerakkan seluruh anggota badan terutama kepalanya. Tiada luka. Tiada benjol. Yang penting tiada darah. Tangisnya pula seketika, kemudian apabila dipujuk, dia mula membebel dan ketawa seperti biasa.
Hanya syukur yang mampu saya ucapkan kepadaNya yang Maha Berkuasa.
Malam itu hanya kami dua anak-beranak di rumah. Suami keluar outstation sekali lagi, walaupun memang sedar risiko yang bakal kami hadapi jikalau berlaku apa-apa yang tidak diingini dengan tiadanya orang dewasa yang lain di rumah. Saya tak mampu menghalangnya pergi; lebih baik bersabar sahaja daripada bertambah stres dengan pertukaran pendapat suami-isteri :)


Saya tak dapat bayangkan apa yang akan dilakukan sekiranya anak berusia 11 bulan itu cedera parah akibat terjatuh tangga. Mungkin dengan berkat doa semua orang untuknya, maka dia tidak mengalami apa-apa kecederaan. Hanya terkejut sedikit dan tidak mahu tidur sendirian pada malam tersebut. Tak nampak kecederaan dalaman walaupun saya perhatikannya dengan teliti selama 24 jam selepas insiden tersebut.

Pada ketika itu, saya rasa diri ini begitu lemah dan tidak berdaya. Tentu ada orang yang akan gelak, "A la, anak seorang pun tak dapat nak jaga dengan baik!" Tapi apa nak buat, saya memang letih uruskan semuanya tanpa bantuan pembantu rumah. Umur juga sudah 40, bukan muda remaja lagi. Apatah lagi apabila sedang sarat mengandung 7 bulan dengan perut yang kian membesar, yang sedikit sebanyak melambatkan pergerakan. Ikram pula semakin aktif dan lincah, dan tidak sedar akan bahaya yang mungkin berada di hadapannya. Saya terpaksa menumpukan sepenuh perhatian padanya apabila dia berada di rumah. Kerja rumah dan kemas-mengemas terpaksa ditangguhkan dahulu sehinggalah dia tidur malam. Itupun kalau masih larat nak kemas-kemas ketika itu :P

Mak mertua sudah mulai bersuara, risau melihatkan keadaan kami anak-beranak. Dia tidak mampu menjaga saya apabila saya bersalin anak kedua nanti kerana umurnya yang kian lanjut, tambahan pula kini kesihatannya sendiri juga kurang memuaskan. Saya juga tidak mahu menyusahkannya. Terpaksa pula cuba tenangkannya dengan berkata bahawa semua akan ok nanti. Mak saya apatah lagi, dia sendiri perlukan bantuan dan tidak boleh membengkokkan kakinya yang pernah patah. Lagipun Mak marah dan merajuk sedikit apabila mengetahui foto dia dengan saya diterbitkan dalam Majalah-1 tempoh hari. Saya sengaja tidak memberitahunya lebih awal tetapi Adik pula yang menunjukkan foto tersebut.

Saya dan suami masih mencari pembantu untuk menjaga saya dan anak-anak ketika berpantang kelak. Paling kurang untuk sebulan sehingga saya dapat bergerak dengan selesa semula selepas sembuh daripada pembedahah cesarean.Kami tidak bercadang untuk mengulangi keadaan seperti dulu iaitu menumpang di rumah kawan selama 2 minggu selepas saya bersalin anak pertama. Penat suami berulang-alik meninjau keadaan kami selama dua minggu itu; tambahan pula kami tidak mahu lagi mengganggu keluarga yang baik hati itu. Biarlah kali ini kami uruskan sendiri pula walaupun bagaimana caranya masih belum dirancang dengan sempurna lagi. Tempoh pula tak lama- kira-kira 2 bulan lagi. Mula-mula ingin mengambil bibik tetapi dengan keadaan sekarang, memang susah nak dapat yang baik dan boleh diharap. Takut juag nanti bibik baru bukan sahaja lari dari rumah tetapi dilarikan sekali anak-anak saya :)

Pening memang pening apabila memikirkan masalah ini.Apa-apa pun, saya tetap yakin bahawa Allah swt akan memberi jalan keluar kepad kami. Bagaimana, saya sendiri tak tahu tapi saya tetap yakin pada janji-janjiNya.
Ikram perlu dijaga untuk sekurang-kurangnya 3 malam sementara saya di hospital selepas bersalin kelak. Mungkin saya perlu mencarikannya keluarga angkat yang boleh uruskannya ketika itu, hehehe [ada sesiapa berminat jaga hero ni?].
Saya pula perlu uruskan anak yang baru lahir nanti di samping pulih daripada pembedahan cesarean. Alhamdulillah dengan adanya 90 hari cuti bersalin yang bermula pada tahun 2011 ini, dapatlah berehat lebih lama sedikit di samping menyusukan anak dengan lebih selesa dan lama berbanding ketika melahirkan Ikram dulu [insyaAllah].
Saya juga mencari orang untuk memasak dan membawa makanan untuk ibu yang sedang berpantang. Tak larat rasanya nak memasak sendiri nanti, lebih-lebih lagi kalau menyusu secara eksklusif. Suami pula bakal bercuti hanya seminggu [maklumlah pekerja kerajaan] itupun belum tentu lagi dia akan berada 24 jam di rumah sebab mungkin terpaksa ke outstation juga atas urusan rasmi.

Doktor sendiri menggelengkan kepalanya apabila saya memberitahunya bahwa saya tak dapat ke hospital untuk berehat di wad kerana tiada sesiapa yang dapat menjaga Ikram. Itu hakikat, bukan sebegai alasan untuk tidak ke wad.
"Habis, bagaimana bila awak bersalin awal?" dia bertanya.
"Saya tak tahu," saya tersenyum. "Ketika itu, biarlah suami saya pula yang pening. Sekarang saya hanya boleh tunggu ketibaan anak kedua ini dan doakan untuk yang terbaik bagi kami sekeluarga. Allah juga yang tentukan saya mengandung anak kedua ini sekarang, bukan tahun depan, bukan 3-4 tahun lagi. Bila baby nak keluar, itu terpulanglah padaNya. Lagipun bila saya dah berada di atas katil pembedahan, semua itu bukan masalah saya lagi."

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan untuknya jalan keluar (dari masalah hidup). Dan memberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Dia akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan perkara yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. (al-Talaq:2-3)